Feb 10, 2012

Cerpen ~ Hana Safiya 1



  Dingin malam menyapa gadis itu. Dia merenung jauh, melihat bulan sambil merenung masa depan. Entah apa yang bakal terjadi pada dia, Hana Safiya pada masa akan datang. Umurnya yang baru menginjak 20 tahun, membawa pelbagai dugaan.
   Hana Safiya, seorang muslimah yang dikagumi ramai. Hidupnya sentiasa dilihat penuh kejayaan, kebahagiaan. Namun, tiada siapa yang tahu, betapa peritnya hidup yang terpaksa ditempuhi. Dia bukanlah anak orang kaya, mahupun golongan bangsawan. Dia hanya seorang yang masih bertatih-tatih membina diri menjadi sesolehah yang mungkin. Hidup dalam keluarga yang sederhana, tidak menjadikan Hana seorang yang sombong dan 
materialistic.

“ Hana, awak tengok apa tu? Panjang lamunan nampak,”tegur rakan serumahnya, Dahlia.
“ Oh Lia. Tak de apa la. Saje je, merenung masa depan,” Hana menjawab ringkas.
“ Hana, cuba awak pandang saya sekejap. Saya tengok awak ni lain macam je malam ni. Ada apa-apa yang tak kena ke? Cuba cerita kat saya.”
“ Em entahla Lia, tak tahu nak cakap macam mana.” Hana buntu. Dia berjalan meninggalkan tingkap tempat lamunannya dan menuju ke katil. Dahlia lantas mengekorinya.
“ Hana, saya tau awak ada sesuatu nak cerita kan? Selama ni awak tak berahsia pun dengan saya, kenapa hari ini lain macam je gayanya,” Dahlia terus memujuk.
“ Lia, ada ikhwan ni taqdim saya. Saya tak tahu la Lia, nak terima ke tak. Dia baik, tapi entahla Lia.”

Dahlia terdiam, terkedu mungkin. Mungkin tidak menyangka kawannya yang baru berumur 20 tahun itu cepat betul dilamar orang, padahal mereka masing-masing baru merupakan pelajar tahun 2 perubatan. Jauh lagi perjalanan mereka, lagi 4 tahun lebih baru akan habis belajar.
“ Wah, Hana! Great!,” jerit Dahlia tiba-tiba. “Makan nasi minyak la kitorang.”
“ Lia , please. Awak ni kan, ada- ada je. Orang tengah serius ni.” Hana membalas, tanpa perasaan.
“ Ok sorry. Yela, saya nak tumpang gembira je. Awak tak happy ke? Masam mencuka je muka ni, tak comel la,” usik Dahlia lagi. Dia memang begitu, suka sangat mengusik sahabat-sahabatnya, sebab itulah Dahlia disenangi ramai.

Hana terdiam seketika, tidak tahu nak jawab apa. Ada sesuatu yang disembunyikannya. Namun, biarlah dahulu menjadi rahsia. Belum masanya untuk Dahlia tahu.
“Lia, saya mengantuk la. Jom kita pergi tidur nak? Nanti ye sambung cerita.” Hana memujuk supaya sahabatnya yang satu itu tidak merajuk.
Dahlia buat muka mencebik, merajuk la tu konon. Hana kasihan melihat temannya yang beria-ia ingin berkongsi ceritanya, namun dia belum sedia untuk memberitahu.
“ Ok saya janji, nanti saya cerita kat awak ok. Tapi bukan malam ni la, saya dah mengantuk ni. Cuba tengok mata saya, macam apa dah. Esok cuti kan, bolehla kita pergi jalan-jalan ke,  shopping ke, nak? Saya belanja awak makan chicken chop?”
Dahlia ketawa. Pandai betul Hana memujuk.
“ Yes, menjadi jugak plan saya buat-buat merajuk. Jangan lupa cik Hana Safiya, esok ye. Selamat malam.” Dahlia ketawa keriangan sambil meninggalkan bilik Hana.
Jam sudah menunjukkan pukul 1.00pagi. Hana Safiya masih belum mampu melelapkan matanya. Fikirannya masih berlegar-legar. Terlintas juga seraut wajah itu. Hana cuba memadamnya. Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Hamba tidak berkuasa atas rasa ini, Kau lah yang memegang hati hamba-hambaMu Ya Allah, Ya Rahman, Ya ‘Aziz.

                                                      ********************************

   Hana baru selesai solat dhuha. Dia ingin menjadikan solat sunat itu amalan sehariannya, dia cuba untuk istiqamah, walaupun kadang-kadang imannya turun dan dia tidak mampu melakukannya. Hana sedar, dia perlu sentiasa beramal soleh. Jika tidak, mudah saja bagi syaitan menggodanya untuk melakukan maksiat kepada Allah swt. Dia tidak mahu. Hana ingin kemanisan beribadah dirasainya sentiasa.
   Awal pagi tadi, Hana sudah menelefon ibunya, bercerita tentang lamaran yang baru diterimanya semalam. Ibu cukup sporting, segalanya diserahkan kepada Hana untuk membuat keputusan. Memang Hana sudah membuat keputusannya, dari semalam lagi. Namun, dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab lamaran ikhwan tersebut. Ibu kata, istikharahlah. Tapi bagi Hana, dia tak terasa pun kemahuan untuk beristikharah, entah apa yang menyebabkan dia jadi begitu, dia tidak tahu. Jadi, Hana sudah membuat keputusan tanpa istikharah, cuma mengikut gerak hatinya yang selalunya betul dan tidak menyesalkan dirinya.

   Hana termenung lagi. Persoalan ibunya menjengah ke fikirannya. “Macam mana dengan Fikry kalau Hana terima lamaran ini? Hana dengan Fikry macam mana sekarang?”
Fikry. Satu nama yang bererti dalam hidupnya. Dia tidak punya jawapan untuk persoalan umi. Dia hanya boleh menjawab ‘entahla’ kepada umi. Dia tidak tahu. Benar dia tidak punya jawapan untuk itu. Biarlah masa yang menentukannya.
Hana sudah membuat keputusan. Lantas dia membuka laptop miliknya, menaip sesuatu, dan menekan butang send. Tidak lama selepas itu, dia menerima balasan emel. Lambat-lambat dia membacanya, risau penerimaan ikhwan itu.
‘Takpelah, saya redha kalau ini keputusan Hana. Saya tidak mahu memaksa. Semoga Allah beri yang terbaik buat kita. Salam.’
   Alhamdulillah. Hana memanjatkan syukur kepada Ilahi. Dia sudah bebas dari berfikir mengenai perkara ini. Bagi Hana, dia masih kecil dan tidak matang untuk berfikir berkenaan rumahtangga. Mungkin belum tiba masanya buatku. Dia bersyukur, ikhwan itu dapat menerima dengan baik penolakan tersebut, walaupun dalam pada masa yang sama, Hana sebenarnya takut untuk membuat keputusan. Ini kerana baginya, ikhwan tersebut seorang yang soleh. Dia takut bila memikirkan akan hadis ini.

“Apabila datang laki-laki (untuk meminang) yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia, dan bila kamu tidak lakukan akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang meluas.”
 (HR. Tirmidzi dan Ahmad) 

Hana harap, keputusannya tidak salah. Dia tidak mampu membohongi hatinya.Apa yang mampu dilakukannya, dia hanyalah insan lemah. Dia tidak mampu membuang seraut wajah dan kenangan tersebut. Ya Allah, kurniakanlah hamba petunjukMU, yang terbaik bagiku dan agamaku.




No comments: