Nov 18, 2013

Aku Sesat ?


Bismillah..

Ada kalanya, kita akan merasa seperti terperangkap di dalam satu zon yang gelap dan sempit. Jiwa berasa sesak, hati seolah-olah tiada serinya. Entah kenapa. Entah apa sebabanya. 
Terkapai-kapai mencari punca. Tercari-cari cahaya di sebalik kegelapan.

Pada waktu itu, mungkin kita perlu berhenti. Berhenti sejenak merenung ke dalam diri. Mungkin diri ini sudah terlalu jauh dengan Tuhan. Allah, inikah aku yang dulu? Kenapa kini aku begitu berbeza dengan aku yang dulu? Apakah kini cintaku padaMu sudah sirna? Apakah kini aku punya cinta yang lain, yang bisa menjauhkan aku daripadamu? 

Ya Allah, bantulah aku. Aku tersesat dalam pengembaraanku di dunia ini.

Dec 10, 2012

Cerpen ~ Hana Safiya 3


   
Terkadang, ada benda yang kita tak mampu gapai dek akal. Banyak benda dalam dunia ni, mungkin. Namun, apa yang kutahu, perasaan itu sungguh aneh. Perasaan yang tempatnya adalah di hati. Perasaan yang mampu menyerlah ke luaran.

  Terkadang, ada insan yang kita harapkan kemunculannya dalam hidup ini. Ada masanya, insan yang lain muncul, yang langsung kita tak terfikirkan akan kehadirannya. Perasaan ini sungguh aneh. Hidup itu penuh dengan keanehan.

   Prinsip hidupku goyah, hanya kerana dia. Kerana dia yang langsung tidak terfikir akan kemunculannya. Datangnya sepi, tanpa disedari. Tatkala kusedar, sudah terlambat. Perasaan itu sudah mula berputik. Cinta yang tidak kuundang, akhirnya hadir. Mungkin petanda baik, kalau aku sudah bersedia. Namun, dalam ketidaksedaran, tiada apa yang aku mampu lakukan. Hanya melayan, mengikut arus perasaan. Terkadang aku hanyut oleh perasaan sendiri walaupun aku sedar, masa masih tidak mengizinkan untuk membenarkan segalanya.

   Sebaris nama itu, takkan kulupa. Begitu banyak kenangan untuk dikenang, walau tidak pernah bersua. Sekali lagi, perasaan ini sungguh aneh. Segala yang tidak, menjadi ya. Apa yang kuharapkan, supaya Tuhan Yang Maha Mengetahui, memberikan apa yang terbaik dalam hidupku, dan hidupnya. Andai itu yang terbaik, tetapkan ia bagiku. Andai sebaliknya, jadikanlah aku redha dan tabah atas ketetapanmu, Ya Allah.

   Ya Allah, jangan biarkan aku terus begini. Andai ini belum masanya, hapuskanlah perasaan ini buat seketika. Supaya aku tenang hidup dalam menuju cintaMu, tanpa dicemari cinta yang bukan sepatutnya. Ya Rabb, aku pinta dengan sungguhnya, lenyapkanlah perasaan ini, andai ini bukan masanya. Andai ini bukan jodohku, kuatkanlah hatiku untuk menerimanya..

‘Teet, teet.’ Bunyi mesej masuk. Lamunan Hana Safiya terhenti di situ.
‘Hmm, ingatkan mesej siapa tadi. Rupanya mesej syarikat telefon. Huh, menganggu je la.’

   Hari itu tiada kuliah, memandangkan minggu tersebut merupakan study week bagi Hana Safiya dan rakan-rakan yang sama pengajian dengannya. Hari cuti memang membosankan, lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang program atau tugasan yang memerlukan komitmennya. Bagi mengisi masa lapang, Hana Safiya mengambil laptop Acer miliknya dan membuka laman sosial Facebook. Masanya dihabiskan dengan meneliti dan membaca info-info penting yang ditulis oleh rakan-rakan dalam facebooknya. Tiba-tiba matanya terpandang akan nama seseorang, yang sedang online.

‘ Hmm nak chat ke taknak eh. Serba salah pulak. Takut pulak aku ni menganggu dia. Dia pun pasti sibuk dengan pelajarannya. Tak payah la kot. Eh, tapi macam dah lama tak chat. Ok la. Mungkin boleh chat sekejap tanya khabar.’
“ Assalamualaikum awak. Apa khabar? Sihat ke?” Hana memulakan perbualan.
Beberapa minit selepas itu, dia membalas.
“ Wassalam. Saya sihat alhamdulillah. Awak macam mana? Sihat? Study mcam mana, ok ke?” Mereka berchatting seperti biasa, bertanyakan khabar diri dan pelajaran, sehinggalah..

“ Hana, saya nak cakap sesuatu boleh?” dia bertanya.
“ Em cakaplah. Apa dia?”
“ Kalau saya cakap taknak awak tunggu saya, awak nak dengar tak cakap saya?”
Soalan itu. Sangat mngejutkan, di luar jangkaan.
“ Kenapa, Fikry?” soal Hana tidak puas hati.
“ Saya ada menunggu seseorang,” jawabnya ringkas.
“ Tapi kenapa tiba-tiba je? Kita dah kenal tiga tahun, bukan satu tempoh yang sekejap.”
“ Saya tahu. Saya nak bagi awak peluang jadi lebih baik. Saya tak nak awak tunggu saya. Saya nak awak tawakkal. Jangan tanya saya tunggu siapa, saya takkan jawab. Jadi, awak terima ke permintaan saya?”
“ Hmm entahlah. Susah saya nak cakap. Awak ingat saya boleh terima keputusan drastik macam ni? Awak lelaki senanglah cakap. Saya ni perempuan, hati dan perasaan saya tak sama macam awak.”
“ Takpe lah, awak fikir la dulu. Semoga Allah jadikan awak muslimah yang solehah dan terpelihara. Dan semoga awak sentiasa diberikan kekuatan.”

Air matanya mengalir perlahan. Perempuan itu, sungguh halus jiwanya. Sungguh mudah membuatnya menangis kesedihan. Hana Safiya mengambil masa selama beberapa jam sebelum memberi jawapan. Akhirnya,..
“ InsyaAllah, saya terima. Saya takkan tunggu awak lagi. Semoga awak bahagia. Salam.”
“ Alhamdulillah awak faham. InsyaAllah awak akan bahagia suatu hari nanti. Ingat, jangan tunggu saya. Maafkan saya, Hana Safiya. Saya akan doakan awak sntiasa dipelihara. Wassalam.”

  Hana menutup laptopnya lantas merebahkan diri ke atas katil. Dia mencapai cik Teddy yang setia menemaninya tatkala sunyi. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Dia pun tak tahu kenapa susah sangat untuk melupakan lelaki itu. Entah apa istimewanya berbanding lelaki lain. Hana tidak mempunyai jawapan atas persoalannya sendiri. Mengapa harus dia menghadapi semua ini. Setelah beberapa ahli keluarga tersayang pergi meninggalkan dirinya, kini Hana ditinggalkan pula oleh seorang teman yang sering berada dengannya tatkala duka lara hidupnya dahulu. Terlalu banyak kenangan yang terpahat dalam memorinya. Satu-persatu diimbau kembali bagaikan skrin layar di hadapan matanya, sehinggalah dia terlelap dalam tangisan air mata.

Dec 4, 2012

Cerpen ~ Hana Safiya 2



  Malam itu, cuaca sungguh indah. Angin bertiup sepoi-sepoi. Dia membuang pandangan ke luar tingkap, melihat keindahan bulan. Merenung kembali saat pertama kali menjejak kaki ke bumi ini, di rantau orang, sangat nostalgik. Sedar tak sedar, dia sudah masuk tahun ketiga di sini. Oh, sudah besar rupanya aku ini, bisik hatinya.

Lamunan Hana Safiya terhenti tatkala terdengar bunyi mesej masuk. Teet, teet!
" Salam Hana. Apa khabar? Semoga sihat dalam rahmat Allah. Ini Kak Ros.  Akak ada sesuatu nak tanya Hana ni. Boleh tak kita jumpa esok?".

Em, Kak Ros nak apa ye? Kenapa tiba-tiba mesej aku pulak. Tak pernah-pernah pun sebelum ni. Pelik jugak. Tak pe la, balas dulu la mesej ni. Hmm..
" Wassalam. Oh Kak Ros rupanya, ingatkan siapa tadi sebab tak save pulak nombor akak. Em insyaAllah sy free je petang esok. Akak nak jumpa kat mana ye?".

" Akak tak pasti lagi. Nanti akak mesej Hana semula ye, insyaAllah. :). "

" Ok akak, insyaAllah saya ok je mana-mana pun. :) ."

   Pertemuan Hana Safiya dengan Kak Ros lewat petang itu membawa fikiran Hana jauh ke masa lalunya.
Kalau dikira, sudah banyak kali dia mengalami situasi begini. Memang menyesakkan. Terutama apabila perlu memikirkan masa depan yang masih kabur-kabur lagi.

     Malam itu, dia bersujud, memohon petunjuk daripada Tuhan Yang Maha Esa, yang memegang hati hamba-hambaNya. Yang menentukan perjalanan dan takdir hidupnya pada masa hadapan. Dia akur andai itu yang terbaik buatnya. Perasaanya yang kabur itu dibuang jauh-jauh. Dia hanya mengharapkan agar diberi petunjuk yang terbaik buatnya menghadapi situasi ini. Biar siapapun, andai itu yang telah diaturkan buatnya, dia perlu redha, dan sabar dengan ketetapan itu. Akhirnya, air matanya menitis jua tatkala dahinya sujud menyentuh sejadah. Tidak sanggup rasanya andai terpaksa melenyapkan perasaan yang telah lama dipendam itu. Tiga tahun bukanlah waktu yang singkat.
'Oh Tuhan! Berikanlah aku yang terbaik. Aku mohon padaMu Ya Allah. Aku meminta padamu agar Kau tunjukkan jalan yang terbaik buat hambaMu ini. Sesungguhnya aku sedar diriku ini hina dan seringkali berbuat dosa kepadaMu. Kau tenangkanlah hatiku ini Ya Rabb.'
Dia terlena dengan tangisan yang masih bersisa di pipinya. Dia ingin apabila bangun nanti, segalanya adalah indah dan dirinya kembali tenang. 

   Pagi itu, Hana Safiya sudah mendapatkan petunjuk yang diinginkannya. Dia mengambil masa bberapa hari untuk memikirkan perkara tersebut, di samping  menelefon ibunya dan berbincang dengan teman-temannya..
Apabila dirasakan sudah yakin, Hana menaip mesej dan menghantarnya kepada Kak Ros.

"Assalamualaikum Kak Ros. Semoga akak sihat di samping suami tercinta. :D. Hana nak bagitahu akak, Hana dah buat keputusan. Semoga ini yang terbaik. Bukan Hana memilih atau tidak mahu mempertimbangkan lamaran tempoh hari, tapi Hana tak yakin untuk terima dia. Hana sudah istikharah dan juga berbincang dengan ibu Hana. Ini je yang mampu Hana lakukan. Hana tak mampu nak terima dia, maafkan Hana akak. Sampaikan salam maaf Hana padanya. Terima kasih akak. :)".

Sent.

'Alhamdulillah, semoga keputusanku ini yang terbaik buat diriku.'
Termasuk kali ini, sudah sembilan kali dia menolak lamaran yang datang dalam hidupnya. Hanya dalam masa dua tiga tahun, sudah sebanyak itu lamaran datang. Belum dikira lelaki-lelaki yang mengajaknya bercouple, yang hanya memikirkan keseronokan semata-mata.
' Maaflah ye wahai lelaki playboy sekalian. Aku tidak akan menerima ajakan tersebut. Tidak sekali-kali. Hatta insan-insan yang baik dan datang secara terhormat pun aku tidak terima, inikan pulak kalian yang tidak pernah wujud dalam list. Semoga Allah memelihara diriku ini.
' Sebenarnya siapa yang aku tunggu? Adakah dia putera kayangan. Hmm entahlah.'
Tatkala itu, seraut wajah itu datang lagi. Mungkinkah dia yang aku nantikan? Mungkinkah dia yang akan membuat hidupku bahagia. Aku hanya berserah pada Yang Maha Kuasa untuk menentukannya.

" Hello cik Hana oi! Termenung apa tu? Panjang benar lamunannya. Lia ni dari tadi lagi perhatikan Hana tau. Hana mesej siapa tu. Nak tengok.". Dahlia datang mengejutkanku. Sungguh aku tak perasan pun bila masa dia ni masuk bilik aku. Lia menarik tanganku dan ingin mengambil hp di tanganku. Namun aku cepat-cepat menyorokkannya. 

" Eh apa Lia ni main sergah-sergah orang pulak. Tak de apelah, Hana mesej Kak Ros la, bukan mesej orang lain pun. Tak payah nak sangka bukan-bukan ye. :P ".

" Ye la cik Hana Safiya binti Ahmad. Jomlah kita makan. Dah lama tau Lia tunggu. Perut ni pun dah menyanyi lagu P.Ramlee tau. Jom cepat."
Dahlia tangkas menarik Hana yang masih berbaring di atas katilnya. Hana pun bangun dengan perasaan yang malas. Kawannya seorang itu, kalau tidak dilayan memang akan menganggu ketenteraman hidupnya. Lia, Lia.

      Selesai makan, Hana dan Dahlia masuk ke bilik masing-masing. Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Ada tanggungjawab yang masih belum selesai. Tanggungjawab kepada Tuhan dan juga tanggungjawab terhadap pelajaran.
Walau apa pun, dua tugas itu memang tidak boleh dilengah-lengah apatah lagi dilupakan. Solat isyak pada malam itu sungguh teras kelainannya, mungkin kerana dia sudah membuat keputusan yang dirasakan berat dalam hidupnya. Sebelum merebahkan diri untuk berehat hana menguatkan dirinya untuk mengulangkaji pelajaran selama dua jam. Dia sedar tugasnya di rantau orang itu belum selesai. Ada amanah yang terpaksa dipikul. Lantaran itu, dia perlu bersungguh-sungguh mencapai cita-citanya demi kesenangan pada masa hadapan.





Dec 1, 2012

PESANAN ITU


Assalamualaikum.
Sudah terlalu lama diri ini tidak menulis.

Kehidupanku sebagai seorang mahasiswa perubatan, ditambah dengan bebanan kerja-kerja persatuan menjadikan aku kadang-kadang lupa untuk meluangkan masa untuk diri sendiri.

Semoga Allah meredhai kehidupanku sehari-harian.

Hari ini, aku memperoleh satu pengajaran yang baik daripada temanku. Pesanannya, jadilah wanita muslimah yang tegas, berprinsip, dan umpama mawar berduri. Cantik dipandang, namun siapa mendekati akan terkena durinya. Jangan terlalu mudah menggadaikan prinsip diri demi insan yang hanya sekadar ingin berleka-leka di muka bumi ini.

Terima kasih buat insan itu, yang telah banyak menasihatiku.

Sekian sahaja pada malam ini. :)




Feb 12, 2012

Puisi ~~ Sebelum Kau Halal Untukku








Ya Allah
aku berdoa untuk seorang lelaki
yang akan menjadi sebahagian dari hidupku

Seseorang yang sangat mencintai-Mu lebih dari segala sesuatu
Seorang lelaki yang akan meletakkan ku pada posisi kedua di hatinya selain Engkau
Seorang lelaki yang hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk Engkau

Wajah tampan dan daya tarikan tidaklah penting
yang penting adalah sebuah hati yang sungguh mencintai dan dekat dengan Engkau
dan berusaha menjadikan sifat-sifat-Mu ada pada dirinya
dan ia haruslah mengetahui bagi siapa dan untuk apa ia hidup sehingga hidupnya tidaklah sia-sia

Seseorang yang memiliki hati yang bijak, tidak hanya otak yang cerdas
Seorang lelaki yang tidak hanya mencintaiku tapi juga menghormatiku
Seorang lelaki yang tidak hanya memujaku tetapi juga dapat menasihatiku ketika melakukan kesalahan

Seseorang yang mencintaiku bukan kerana kecantikanku tapi kerana hatiku
Seorang lelaki yang dapat menjadi sahabat terbaikku dalam setiap waktu dan situasi
Seorang lelaki yang dapat membuatku merasa sebagai seorang wanita ketika aku disisinya

Ya Allah
aku tidak meminta seseorang yang sempurna namun aku meminta seorang yang tidak sempurna, sehingga aku dapat membuatnya sempurna di mata-Mu

Seorang lelaki yang mmerlukan sokonganku sebagai peneguhnya
Seorang lelaki yang memerlukan do’aku untuk kehidupannya
Seseorang lelaki yang memerlukan senyumku untuk mengatasi kesedihannya
Seseorang yang memerlukan diriku untuk membuat hidupnya menjadi sempurna






Ya Allah
aku juga meminta
Jadikanlah aku wanita yang dapat membuatnya bangga
Berikan aku hati yang sungguh mencintai-Mu sehingga aku dapat mencintainya dengan sekadar cintaku
Berikan aku sifat lembut sehingga kecantikanku datang dari-Mu
Berikan aku tangan sehingga aku selalu mampu berdo’a untuknya
Berikan aku penglihatan sehingga aku dapat melihat banyak hal baik dan bukan hal buruk dalam dirinya
Berikanlah aku lisan yang penuh dengan kata-kata bijaksana, mampu memberikan semangat serta menyokongnya setiap saat dan tersenyum untuk dirinya setiap pagi

Dan bilamana akhirnya kami akan bertemu, aku berharap kami berdua dapat mengatakan :
“Betapa Maha Besarnya Engkau karena telah memberikan kepadaku pasangan yang dapat membuat hidupku menjadi sempurna.”

Aku mengetahui bahawa Engkau ingin kami bertemu pada waktu yang tepat. Dan Engkau akan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang telah Engkau tentukan.
Amin Ya Rabbal ‘alamin..




http://diarihati.com/blog/2011/12/15/sebelum-kau-halal-untukku/

Feb 11, 2012

Solehah itu Cita-Cita




Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.
Rasulullah bersabda,
"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah". (HR Muslim).
Rasulullah bersabda,
"Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )
"wanita solehah itu lebih baik dari bidadari syurga.dan isteri solehah itu akan menjadi ketua bagi bidadari bidadari syurga. kamu mahu menjadi solehah?" soal ustazah sewaktu minggu orentasi sofful awwal. Sewaktu saya mula menjejak kaki ke halaman maahad yang permai.
"nak..!!"  jawab kami. Ustazah tersenyum.
"kalau macam tu, usahalah jaga akhlak kamu.Rasulullah pernah bersabda, "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)"
"insyaAllah ustazah..!"

Kini saya dah dewasa. Bukan lagi murid tingkatan satu dahulu. Mungkin cita cita untuk menjadi seorang doktor tak kesampaian. Namun cita-cita sebagai seorang wanita solehah tetap hidup dalam diri. Kalau dulu saya hanya mengangguk kalau ada yang berpesan
"Nanti kamu jadi anak yang solehah ya. Yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya"
Solehah yang ku hadam sebagai perempuan yang baik. mudah saja. ^^
Hari ini saya melihat dunia. Dunia realiti dan sebenar. Manalah perempuan yang baik itu. Susah untuk ketemu. Saya yang rasa dan pendam sendiri. Untuk menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Untuk menjaga aurat. Untuk menjaga iman dan akal hati. Kadang kadang saya menangis sendiri.
"ya Allah susahnya mahu jadi solehah. bertalu talu aku di uji"
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
"Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?"
Ku sapu air mata. Takut kalau Allah mengunci hati. Ahh.. Itu hanya mehnah kecil. Sedangkan Sumayyah di uji imannya dengan ujian yang maha dasyat! Kan wanita solehah itu kuat jiwanya! Teguh azamnya!
"Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik."
Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran.
Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.
Solehah bukan lah mudah. Namun ia bukanlah mustahil. Selagi menjaga ibadah, menjaga kehormatan dan taat kepada suami.
Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w bersabda :
"Apabila mati seorang anak Adam itu maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara:- Sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah), ilmu yang berguna dan terus diamalkan dan anak yang soleh yang mendoakan baginya"
Cukuplah kesolehahan ku membawa kebahagiaan buat kedua wali ku dunia dan akhirat.
** Madah Untuk Wanita Solehah
Notakaki: Jom kita meneliti sejarah isteri-isteri Nabi kita dan wanita wanita solehah agar menjadi inspirasi bagi kita untuk terus bercita cita menjadi yang solehah.. ^^

Feb 10, 2012

Cerpen ~ Hana Safiya 1



  Dingin malam menyapa gadis itu. Dia merenung jauh, melihat bulan sambil merenung masa depan. Entah apa yang bakal terjadi pada dia, Hana Safiya pada masa akan datang. Umurnya yang baru menginjak 20 tahun, membawa pelbagai dugaan.
   Hana Safiya, seorang muslimah yang dikagumi ramai. Hidupnya sentiasa dilihat penuh kejayaan, kebahagiaan. Namun, tiada siapa yang tahu, betapa peritnya hidup yang terpaksa ditempuhi. Dia bukanlah anak orang kaya, mahupun golongan bangsawan. Dia hanya seorang yang masih bertatih-tatih membina diri menjadi sesolehah yang mungkin. Hidup dalam keluarga yang sederhana, tidak menjadikan Hana seorang yang sombong dan 
materialistic.

“ Hana, awak tengok apa tu? Panjang lamunan nampak,”tegur rakan serumahnya, Dahlia.
“ Oh Lia. Tak de apa la. Saje je, merenung masa depan,” Hana menjawab ringkas.
“ Hana, cuba awak pandang saya sekejap. Saya tengok awak ni lain macam je malam ni. Ada apa-apa yang tak kena ke? Cuba cerita kat saya.”
“ Em entahla Lia, tak tahu nak cakap macam mana.” Hana buntu. Dia berjalan meninggalkan tingkap tempat lamunannya dan menuju ke katil. Dahlia lantas mengekorinya.
“ Hana, saya tau awak ada sesuatu nak cerita kan? Selama ni awak tak berahsia pun dengan saya, kenapa hari ini lain macam je gayanya,” Dahlia terus memujuk.
“ Lia, ada ikhwan ni taqdim saya. Saya tak tahu la Lia, nak terima ke tak. Dia baik, tapi entahla Lia.”

Dahlia terdiam, terkedu mungkin. Mungkin tidak menyangka kawannya yang baru berumur 20 tahun itu cepat betul dilamar orang, padahal mereka masing-masing baru merupakan pelajar tahun 2 perubatan. Jauh lagi perjalanan mereka, lagi 4 tahun lebih baru akan habis belajar.
“ Wah, Hana! Great!,” jerit Dahlia tiba-tiba. “Makan nasi minyak la kitorang.”
“ Lia , please. Awak ni kan, ada- ada je. Orang tengah serius ni.” Hana membalas, tanpa perasaan.
“ Ok sorry. Yela, saya nak tumpang gembira je. Awak tak happy ke? Masam mencuka je muka ni, tak comel la,” usik Dahlia lagi. Dia memang begitu, suka sangat mengusik sahabat-sahabatnya, sebab itulah Dahlia disenangi ramai.

Hana terdiam seketika, tidak tahu nak jawab apa. Ada sesuatu yang disembunyikannya. Namun, biarlah dahulu menjadi rahsia. Belum masanya untuk Dahlia tahu.
“Lia, saya mengantuk la. Jom kita pergi tidur nak? Nanti ye sambung cerita.” Hana memujuk supaya sahabatnya yang satu itu tidak merajuk.
Dahlia buat muka mencebik, merajuk la tu konon. Hana kasihan melihat temannya yang beria-ia ingin berkongsi ceritanya, namun dia belum sedia untuk memberitahu.
“ Ok saya janji, nanti saya cerita kat awak ok. Tapi bukan malam ni la, saya dah mengantuk ni. Cuba tengok mata saya, macam apa dah. Esok cuti kan, bolehla kita pergi jalan-jalan ke,  shopping ke, nak? Saya belanja awak makan chicken chop?”
Dahlia ketawa. Pandai betul Hana memujuk.
“ Yes, menjadi jugak plan saya buat-buat merajuk. Jangan lupa cik Hana Safiya, esok ye. Selamat malam.” Dahlia ketawa keriangan sambil meninggalkan bilik Hana.
Jam sudah menunjukkan pukul 1.00pagi. Hana Safiya masih belum mampu melelapkan matanya. Fikirannya masih berlegar-legar. Terlintas juga seraut wajah itu. Hana cuba memadamnya. Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Hamba tidak berkuasa atas rasa ini, Kau lah yang memegang hati hamba-hambaMu Ya Allah, Ya Rahman, Ya ‘Aziz.

                                                      ********************************

   Hana baru selesai solat dhuha. Dia ingin menjadikan solat sunat itu amalan sehariannya, dia cuba untuk istiqamah, walaupun kadang-kadang imannya turun dan dia tidak mampu melakukannya. Hana sedar, dia perlu sentiasa beramal soleh. Jika tidak, mudah saja bagi syaitan menggodanya untuk melakukan maksiat kepada Allah swt. Dia tidak mahu. Hana ingin kemanisan beribadah dirasainya sentiasa.
   Awal pagi tadi, Hana sudah menelefon ibunya, bercerita tentang lamaran yang baru diterimanya semalam. Ibu cukup sporting, segalanya diserahkan kepada Hana untuk membuat keputusan. Memang Hana sudah membuat keputusannya, dari semalam lagi. Namun, dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab lamaran ikhwan tersebut. Ibu kata, istikharahlah. Tapi bagi Hana, dia tak terasa pun kemahuan untuk beristikharah, entah apa yang menyebabkan dia jadi begitu, dia tidak tahu. Jadi, Hana sudah membuat keputusan tanpa istikharah, cuma mengikut gerak hatinya yang selalunya betul dan tidak menyesalkan dirinya.

   Hana termenung lagi. Persoalan ibunya menjengah ke fikirannya. “Macam mana dengan Fikry kalau Hana terima lamaran ini? Hana dengan Fikry macam mana sekarang?”
Fikry. Satu nama yang bererti dalam hidupnya. Dia tidak punya jawapan untuk persoalan umi. Dia hanya boleh menjawab ‘entahla’ kepada umi. Dia tidak tahu. Benar dia tidak punya jawapan untuk itu. Biarlah masa yang menentukannya.
Hana sudah membuat keputusan. Lantas dia membuka laptop miliknya, menaip sesuatu, dan menekan butang send. Tidak lama selepas itu, dia menerima balasan emel. Lambat-lambat dia membacanya, risau penerimaan ikhwan itu.
‘Takpelah, saya redha kalau ini keputusan Hana. Saya tidak mahu memaksa. Semoga Allah beri yang terbaik buat kita. Salam.’
   Alhamdulillah. Hana memanjatkan syukur kepada Ilahi. Dia sudah bebas dari berfikir mengenai perkara ini. Bagi Hana, dia masih kecil dan tidak matang untuk berfikir berkenaan rumahtangga. Mungkin belum tiba masanya buatku. Dia bersyukur, ikhwan itu dapat menerima dengan baik penolakan tersebut, walaupun dalam pada masa yang sama, Hana sebenarnya takut untuk membuat keputusan. Ini kerana baginya, ikhwan tersebut seorang yang soleh. Dia takut bila memikirkan akan hadis ini.

“Apabila datang laki-laki (untuk meminang) yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia, dan bila kamu tidak lakukan akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang meluas.”
 (HR. Tirmidzi dan Ahmad) 

Hana harap, keputusannya tidak salah. Dia tidak mampu membohongi hatinya.Apa yang mampu dilakukannya, dia hanyalah insan lemah. Dia tidak mampu membuang seraut wajah dan kenangan tersebut. Ya Allah, kurniakanlah hamba petunjukMU, yang terbaik bagiku dan agamaku.